Kontroversi Mohd Asri Zainul Abidin

Beliau merupakan seorang penceramah yang sering diselubungi dengan beberapa kontroversi. Di antaranya termasuklah:-

Ditahan berceramah tanpa tauliah

Kontroversi Menyokong Hitler

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin di dalam artikel Awani yang bertakjuk "Hitler itu mungkin ada benarnya" di mana di menulis bahawa "...Hitler bukanlah orang memulakan kepercayaan bahawa Yahudi adalah bangsa perosak. Pada 1542, pemimpin agung Prostestan Jerman, Martin Luther telah menulis tentang pembohongan dan kemerbahayaan Yahudi dalam bukunya Against The Jews And Their Lies. Pada kurun yang ke-14, Sepanyol dan Portugal memaksa masyarakat Yahudi hidup secara terpisah dari bukan Yahudi."

Ditahan di Taman Sri Ukay

Pada 1 November 2009, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan Dr. Mohd. Asri selepas beliau menyampaikan kuliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay pada pukul 12 tengah malam tersebut. Bagaimanapun beliau dibebaskan selepas keterangannya diambil hampir sejam di balai polis Hulu Klang.[3] Ketua unit perhubungan awam JAIS, Mohd Hidayat Abd Rani memberitahu Malaysiakini melalui telefon bahawa Dr Mohd Asri akan didakwa bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau mengajar agama tanpa tauliah. Pendakwaan itu dilakukan berdasarkan aduan-aduan orang ramai terhadap lulusan pengajian hadis itu sejak beliau mula mengadakan ceramah agama di Selangor tiga tahun lalu.[4] Dr. Asri mengakui bahawa perkara ini berlaku semenjak beliau menjadi mufti dahulu. Beliau satu-satunya tokoh agama yang tidak dibenarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberikan ceramah agama di negeri itu walaupun ketika menjadi mufti dua tahun lalu.Bekas mufti Perlis itu mendakwa, kecuali dirinya, Jais membenarkan mufti negeri-negeri lain memberikan ceramah dan mengajar agama di Selangor.[5]

Didakwa secepat mungkin

Pada 2 November 2009, pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata siasatan itu juga akan disegerakan memandangkan kes itu melibatkan tangkapan yang telah menjadi perhatian umum. Beliau turut mempertahankan tindakan jabatan itu menggunakan khidmat polis ketika menahan Dr Mohd Asri kerana berlaku masalah untuk dapatkan kerjasama Dr. Asri.[6]Pada 18 November 2009, Mohd Asri telah dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dan beliau mengaku tidak bersalah di di atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah rumah di Lorong 2C Taman Seri Ukay Ampang antara pukul 8.10 malam hingga 9.45 malam 1 November 2009. Beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 dan jika sabit kesalahan Mohd Asri berhadapan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Syariah Bahagian Selangor, Zusyarafain Yusof dan Abdul Shukor Abdul Halim, manakala Asri diwakili peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman. Pada 8 April 2010, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam Hakim Syarie Mohamad Adib Husain menetapkan 28 April 2010 untuk keputusan permohonan semakan oleh pihak pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur yang menolak untuk memindahkan kes bekas Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah ke Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam.[7]Pada 28 April 2010, Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Mohamad Adib Husain, menetapkan 21 Mei 2009 untuk mendengar kes ini. Pada 3 Mei 2010, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur yang diwakili oleh Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wah Muhammad membenarkan kes bekas Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, yang menghadapi pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah didengar di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam[8]

Pada 24 Jun 2010, Mahkamah Tinggi di Shah Alam yang diwakili oleh Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaii menetapkan 29 Julai 2010 untuk sebutan semula kes beliau.[9]Pada 29 Julai 2010, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang diwakili oleh Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad menggantung prosiding kes bekas Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Rayuan Syariah. Abu Zaky berkata kes itu ditangguhkan sehingga proses rayuan Mohd Asri terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang membenarkan perbicaraan kes tersebut dipindahkan dari Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur ke Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam.[10]

Reaksi pemimpin

  • PAS

Pada 2 November 2009, Pemuda PAS yang diwakili oleh ketuanya, Nasrudin Hassan menyatakan kesediaannya untuk bertemu sendiri Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung perkara tersebut yang dikaitkan dengan isu pengajaran tanpa tauliah rasmi. Sejak kerajaan ini ditadbir Pakatan Rakyat mulai Mac 2008, katanya lagi, "keadaan di Selangor banyak berubah terutama kebebasan para penceramah agama untuk menyampaikan kuliah dan tazkirah bagi membasmi kejahilan ummah." "Dewan Pemuda PAS turut melahirkan rasa kesal atas tindakan Jais dengan menganggap isu seperti ini boleh diselesaikan secara lebih hikmah tanpa perlu membuat sebarang tangkapan yang boleh mencetus polemik dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap Jais."[11]

  • UMNO

Pada 2 November 2009, ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula merasakan rasa terkejut dengan berita penahanan bekas mufti Perlis ini, dilaporkan kerana disyaki mengajar tanpa tauliah dan turut mempersoalkan tindakan tersebut walaupun agamawan itu sering menyampaikan pandangan secara lisan atau bertulis selama bertahun-tahun. Manakala perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempersoal motif penahanan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tengah malam tadi kerana disyaki mengajar tanpa tauliah. [12]

  • Pemimpin agama

Pada 2 November 2009, Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya menganggap bahawa isu tauliah mengajar agama adalah isu lapuk yang diwarisi sejak zaman penjajah. Menurutnya lagi, peraturan yang bersifat dua mata yang boleh 'membunuh tuannya' jika disalahgunakan malah lebih parah jika digunakan pihak tertentu yang berselindung di sebalik kedudukan sebagai penemuduga atau penyemak kelayakan sebelum diberi tauliah dan mereka yang menapis pemberian tauliah perlu telus dari segi prosedur kerana mereka bertindak bagi pihak jabatan agama dan Ketua Agama Negeri berkenaan.[13]

Bukan penganut fahaman Wahabi

Pada 30 September 2009, beliau menegaskan bahawa beliau tidak pernah mendokong fahaman Wahabi seperti tanggapan umum terhadapnya selama ini. Sebaliknya, beliau mendakwa bahawa fahaman Wahabi tidak pernah bertapak di Perlis. Menurutnya, fahaman juga tidak sama dengan "Sunnah Perlis" yang diamalkan oleh sebahagian penduduk Perlis sekarang. 'Sunnah Perlis' bukanlah Wahabi, sebaliknya adalah satu aliran pembaharuan bagi memajukan umat Islam dalam pelbagai bidang.[14]